Sunday 3 June 2012

Prinsip Itik Berenang

Pernahkah anda melihat itik yang sedang berenang di dalam kolam atau tasik? Itik-itik itu semua kelihatan berada di permukaan air dengan tenang dan selesa. Pergerakan mereka sangat lancar dan mereka bergerak ke depan, kiri dan kanan dengan begitu lembut dan indah.
Namun, tahukah kita apa yang berlaku di bawah permukaan air itu? Sedarkah kita yang di bawah permukaan air itu kaki itik sedang bekerja keras mengayuh hampir ke semua arah bagi memastikan itik kekal timbul?

Seseorang yang BERJAYA itu kita lihat nampak tenang dan bersahaja, mereka sebenarnya sedang bekerja keras dan bertungkus-lumus dalam usaha mereka mencapai kejayaan.
Kita tidak nampak usaha kerja keras mereka kerana apa yang kita nampak adalah di bahagian permukaan sahaja, sama seperti itik yang sedang berenang. Itik kelihatan sedang bergerak tenang di atas permukaan air tetapi sebenarnya di bawah permukaan air, kakinya bekerja keras mengayuh air agar ia kekal timbul di permukaan.

Sama seperti prinsip itik berenang tadi, pelajar cemerlang juga bekerja sangat keras untuk mencapai kejayaan. Walaupun mereka nampak tenang, fikiran mereka sentiasa bekerja dan berfikir untuk mencari jalan ke arah kejayaan. Jika pelajar KURANG CEMERLANG rasa belajar itu susah dan memeningkan kepala, pelajar CEMERLANG juga rasakan perkara yang SAMA. Bezanya, pelajar cemerlang teruskan belajar dan bekerja keras kerana mereka tahu, usaha mereka akan membawa mereka ke arah kejayaan. Mereka tidak merungut tentang susah belajar kerana ia adalah sebahagian daripada proses mencapai kecemerlangan. Bayangkan bagaimana kalau itik merungut setiap hari, “Ishhh…susahlah nak kayuh-kayuh air ni…tenggelam sajalah senang!” :-)